Tuesday 31 July 2012

Konsep Pragmatik


Konsep Pragmatik
Oleh: Dr. Hussin Bin Sarif

Perkembangan awal bidang pragmatik, bermula dengan penghuraian makna iaitu daripada makna literal kepada makna abstrak. Kemudian ahli-ahli bahasa beralih kepada pendekatan menghurai makna daripada perspektif makna pengujaran. Hal ini kerana dengan mengkaji makna secara situasional, sesuatu makna yang sebenarnya dapat diperjelaskan. Hakikatnya, sesuatu bahasa mempunyai makna untuk berfungsi dalam masyarakat penggunanya. Penerokaan tentang makna tidak terhenti setakat mengkaji makna yang dibawa oleh perkataan-perkataan tertentu dalam konteks tertentu semata-mata. Pengkajian yang berasaskan bidang pragmatik dirasakan akan menjawab persoalan tentang makna, terutamanya makna ujaran. Teori dan prinsip asas bidang pragmatik dijadikan kerangka dasar bagi menganalisis makna sesuatu ujaran, termasuklah ujaran yang terdapat dalam karya-karya bertulis.
211

Berdasarkan teori Relevans sesuatu makna ujaran dianalisis berdasarkan tiga prinsip utama, iaitu kod dan inferens, kognisi dan inferens, komunikasi dan relevan, dan kerelevanan yang optimum. Dari sudut makna penutur, penekanan kepada peranan konteks, kesan konteks dan niat penutur ketika mengeluarkan sesuatu ujaran itu. Setelah makna ujaran berdasarkan konteks diperoleh, penganalisisan berdasarkan interpretasi pendengar akan menjelaskan maksud sebenar sesuatu ujaran. Berdasarkan teori Relevans makna sesuatu ujaran itu boleh difahami dengan meneliti usaha untuk memberitahu oleh penutur, dan usaha untuk memproses oleh pendengar. Setelah diketahui makna literal ujaran tersebut, maka ujaran itu akan dianalisis berdasarkan persekitaran kognitif, konteks, dan kesan konteks Dalam hal ini, peranan konteks dan kesan konteks sangat penting bagi mengenal pasti pelbagai perkara yang berkaitan dengan ujaran tersebut sehingga menjadikan komunikasi itu berjaya ( Blakemore, 1992:18). Selanjutnya, niat penutur ketika mengujarkan sesuatu ujaran perlu diketahui juga bagi mendapatkan makna sebenar sesuatu ujaran. Penutur bersedia dengan set andaian yang membantu pendengar. Dengan membuat analisis pragmatik, pentafsiran tentang fikiran 212 penutur dapat diandaikan oleh pendengar (Leech dan Short,1993:289). Dengan andaian tersebut, maka kesan pengucapan ujaran akan dapat diketahui juga berdasarkan konteks dan kesan konteks dalam adegan selanjutnya.

Penganalisisan makna ujaran seterusnya dianalisis berdasarkan interpretasi pendengar. Penginterpretasian makna yang dibuat oleh pendengar akan mengambil kira pelbagai kemungkinan makna yang sesuai berdasarkan konteks ujaran tersebut diucapkan. Makna ujaran yang dianalisis secara mendalam adalah berdasarkan prinsip-prinsip yang telah dikemukakan oleh Sperber dan Wilson (1995). Namun demikian, penganalisisan juga dibuat berdasarkan pendapat dan pandangan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh lain seperti Recanati (1991), Blakemore (1992), Palmer (1992), Leech (1993), Yule (1996), Norhashimah (1992), Grundy (1995), Schiffrin (1994) dan Asmah (2000). Dapatan kajian menunjukkan bahawa dalam H.H.T terdapat bentukbentuk komunikasi tak harfiah yang dibawakan oleh penutur dan pendengarnya. Akmajian et al. ( 2002:372 ) telah menerangkan maksud komunikasi tak harfiah sebagai: “Kadang-kadang semasa kita bertutur,kita maksudkan sesuatu selain apayang dimaksudkan oleh kata kita. 213. Apabila apa yang ingin kita sampaikantidak sepadan dengan apa yang dimaksudkan oleh ungkapan kita secaraharfiah, maka kita bertutur  secara tak harfiah.”Dalam analisis data, didapati prinsip-prinsip pragmatik telah berjaya menjelaskan makna sesuatu ujaran. Berdasarkan makna abstrak semata-mata tidak menggambarkan dengan jelas maksud yang diharapkan oleh penutur  ketika mengucapkan sesuatu ujaran. Dengan perkataan lain, maksud yang dibawa oleh kata-kata yang membina ujaran tidak menggambarkan hakikat sebenar niat penutur.

Peranan konteks didapati sangat penting dalam menentukan makna sesuatu ujaran. Kesan konteks dalam sesuatu peristiwa bahasa dapat membantu memberikan gambaran secara menyeluruh maksud yang dibawa oleh sesuatu ujaran. Pendengar mendapat maklumat awal sebelum merumuskan makna ujaran yang didengari. Secara tidak langsung, berdasarkan kesan konteks, terutamanya peserta-peserta yang terlibat dan objek-objek yang terdapat dalam peristiwa bahasa akan membantu pendengar membuat andaian tentang topik yang dibincangkan ketika itu. Pengetahuan tentang topik perbincangan akan membantu pendengar mengaitkannya dengan makna ujaran yang didengarinya. 214 Selanjutnya, konteks sosial dan budaya akan melengkapkan andaian maksud sesuatu ujaran apabila pendengar menganalisis budaya penutur kerana dalam sesuatu ujaran penutur juga berpegang kepada budaya masing-masing. Dengan pengetahuan serba sedikit tentang budaya penutur, pendengar akan cuba mengaitkannya dengan ujaran yang diucapkan bagi mendapatkan maksud yang ingin diutarakan oleh penutur ketika itu.

Konteks linguistik merupakan elemen yang penting dalam menentukan makna sebenar ujaran. Dengan menganalisis konteks linguistik, pendengar akan lebih maklum tentang bentuk bahasa yang digunakan oleh penutur dalam ujarannya. Bentuk-bentuk bahasa sama ada kiasan, peribahasa, metafora, penggunaan perkataan taksa dan seumpamanya yang digunakan oleh penutur memberi ruang kepada pendengar mentafsir maksud yang dibawa oleh ujaran secara lebih menyeluruh. Dapatan kajian juga menunjukkan ujaran-ujaran yang dikaji telah menggunakan pelbagai bentuk bahasa untuk menyampaikan sesuatu maksud. Dalam hal ini, Akmajian et al. ( 2002 : 372-376 ) telah menggariskan beberapa jenis atau bentuk bahasa dalam komunikasi tak harfiah, iaitu penyataan yang berlebihan, bahasa sindiran, bahasa kiasan, metafora dan ketidaksesuaian mengikut konteks. 215 Kemudian penggunaan peribahasa juga amat penting dalam ujaran orang-orang Melayu. Menurut Za’ba (1965, 165): “Peribahasa itu segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya, dipakai akan dia jadi
sebutan-sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran Peribahasa Melayu merupakan sebahagian daripada pandangan dunia orang Melayu.

Peribahasa dicipta hasil daripada interaksi mereka sesama mereka, interaksi dengan alam sekitarnya dan interaksi mereka dengan kuasa-kuasa ghaib. Konsep baik dan buruk telah memberi dorongan kepada siapa untuk membatasi perlakuan. Pelbagai bentuk, corak dan gambaran telah diguna untuk menyampaikan saranan ini yang menggambarkan kebijaksanaan nenek moyang mereka menerusi peribahasa.. Di samping pelbagai cabaran, peribahasa tetap menjadi sebahagian daripada kebudayaan orang Melayu yang menggambarkan kehalusan dan nilai berbudi bahasa mereka. Cara orang-orang Melayu berbahasa berdasarkan analisis data yang diambil daripada H. H. T., boleh dirumuskan kepada beberapa ciri sebagaimana berikut; 216

i. Penyataan yang berlebihan Iaitu merujuk kepada penggunaan kata yang berlebihan bagi menggambarkan sesuatu perkara. Contoh, sedang tubuh patik lagi jadi hamba dalam perintah kekanda, ( H. H.T., 07 )

ii. Bahasa sindiran
Iaitu penggunaan perkataan yang ditujukan maksudnya kepada seseorang dengan tidak disebut secara tepat, hanya dikiaskan kepada perkara yang lain. Contoh : “Sudahlah gerang untungku. Adapun nama laki-laki yang berani itu tiada demikian, sehingga mati sudahlah; tetapi si Jebat tiada mati di dalam istana ini, tiada dapat barang-barang hulubalang membunuh Jebat ini. Tetapi si Jebat tiada menyesal pada barang pekerjaannya”, ( H. H. T. : 339 )

iii. Bahasa kiasan
Iaitu merujuk kepada bentuk bahasa yang memperkatakan sesuatu dengan mengkiaskannya kepada perkara lain sama ada dengan menyebut bandingan atau tidak. Contoh:nescaya mudah pada mata seterunya ( H. H. T. : 135 ) 217

iv. Metafora
Iaitu merujuk kepada penggunaan perkataan yang bertujuan  membandingkan sesuatu tanpa menggunakan kata ‘seperti’, ‘bak’, ‘umpama’ dan sebagainya. Contoh, menteri besa lagi tua ( H. H. T. : 51 )

v. Ketidaksesuaian mengikut konteks
Iaitu penggunaan kata-kata yang jauh menyimpang dari konteks sebenar, terutamanya konteks situasi. Contoh, seperti kejatuhan bulan rasanya, ( H. H. T.: 105 ).Dapatan kajian juga menunjukkan niat penutur dapat memberika gambaran yang lebih jelas terhadap tujuan sebenar penutur ketika mengujarkan sesuatu ujaran. Tujuan penutur yang terkandung dalam ujarannya itulah merupakan makna sebenar ujaran tersebut. Dalam hal ini, setiap ujaran yang dilahirkan tentu sekali mempunyai niat tertentu, sama ada sebagai sindiran, nasihat, amaran, dan kecewa. Berikut adalah contoh-contoh ujaran berdasarkan niat atau tujuan penutur:

i. Sebagai sindiran kepada seseorang.
Contoh: “ Pada firasatku, bahawa aku tiada dapat membunuh engkau, engkau pun tiada dapat membunuh aku 218 pada hari ini. Adapun aku ini sahajalah matilah olehmu, tetapi negeri Melaka ini habis binasa olehku” ( H. H. T : 362 )

ii. Penglahiran rasa sedih dan kecewa.
Contoh: Lihatlah Ratu Lasem ini memberi aku malu ! Beberapa aku berbuat kebaktian padanya tiada juga kelihatan padanya dan beberapa pula negeri kualahkan tiada juga berguna kebaktianku. ( H. H. T, : 49 )

iii. Memberitahu sesuatu maklumat atau perkara
Contoh, “ seperti api itu jika kecil dapat dipadamkan, dengan bagai-bagai ia padam; apabila ia besar sudah sukarlah kita memadamkan dia. ( H. H. T.: 79 ).


iv. Nasihat kepada pendengar.
Contoh: Hai segala orang Melaka, tahanlah baik-baik tikam Si Jebat derhaka ini, kerana aku lagi membarut lukaku” ( H.H. T,: 365 ).
v. Lain-lain tujuan
a. Sebagai amaran :

Contoh: kerana Patih Gajah Mada ini banyak mainannya, ( H. H. T,: 118 ) 219

b. Memprotes sesuatu tindakan atau perbuatan.

Contoh: Aku pun kerana melihat engkau dibunuh oleh bendahara tiada dengan dosanya; sebab itulah makasakit hatiku, ( H. H. T, : 360 ).

c. Perasaan merendah diri.

Contoh: Hai Laksmana, sekali-kali tiada aku menyesal dan takut akan mati, tetapi aku sudah tahu akankematianku ini pada tanganmu, di mana dapat kusalahi  lagi ? Tetapi tuan hamba lihatlah tikam Si Jebat derhaka ini, empat puluh hari orang Melaka membuangkan bangkai. Sepala-pala jahat jangan kepalang; kuperbuat sungguh-sungguh”. ( H. H. T, : 355 ) Hakikatnya, sesetengah ujaran yang diucapkan oleh si penutur dalam H. H. T., mempunyai makna implisit. Makna implisit ini disebabkan oleh pengolahan niat atau sikap penutur dalam mengujarkan sesuatuwalaupun dalam ayat tersebut terdapat makna tersuratnya (Hashim Haji Musa dan Ong Chin Guan, 1998:87). Pengetahuan tentang niat penutur secara tidak langsung akan menjelaskan maksud sebenar sesuatu ujaran.220 Bagi mendapatkan makna ujaran, pendengar akan membuat pelbagai interpretasi terhadap maksud sesuatu ujaran yang didengarinya.Andaian-andaian makna yang dibuat adalah berlandaskan kepada kemungkinan-kemungkinan makna yang timbul. Namun demikian, interpretasi makna yang dibuat dengan mengambil kira konteks dan kesan konteks mampu menjelaskan makna ujaran tersebut.

 Dapatan kajian juga mendapati bahawa masyarakat Melayu khususnya pada zaman keagungan K. M. M mempunyai ketinggian daripada aspek pemikiran. Hal ini jelas terbukti dalam konsep ketaatan. Kewujudan sesebuah pemerintahan yang kuat dan kukuh amat memerlukan ketaatan para pendukung pemerintahan tersebut. Dalam konteks H. H. T., watak utama iaitu Hang Tuah amat mengutamakan prinsip ketaatan melebihi unsur-unsur lain. Prinsip itu didukung walaupun Hang Tuah menidakkan kepentingan peribadinya sendiri. Secara implisitnya tema karya agung ini juga mengendaki pembaca memahami tentang keperluan sifat kesetiaan. Kekukuhan sesebuah kerajaan mesti didukung oleh para pegawai yang mengutamakan prinsip kesetiaan yang tidak berbelah bahagi. Selain itu terdapat juga konsep-konsep lain yang menjadi pegangan Masyarakat Melayu dalam era K. M. M yang masih relevan untuk dipraktikan sekarang. Konsep-konsep itu seperti, konsep malu,221 Kepentingan menjaga maruah, kesopanan dan kesantunan dalam perlakuan dan juga pertuturan.

Daripada huraian di atas, terbuktilah bahawa prinsip pragmatik berjaya menghuraikan makna ujaran yang bersifat implisit atau yang mempunyai maksud lain. Sesuatu ujaran yang diucapkan mempuyai niat dan tujuan tertentu, dan disampaikan pula dalam bentuk-bentuk bahasa tertentu. Pendengar pula cuba memahami maksud yang ingin disampaikan oleh penutur dengan sebaik mungkin agar komunikasi tidak tergendala. Reaksi atau tindak balas yang ditunjukkan oleh pendengar terhadap ujaran tersebut amat penting bagi menentukan sama ada maksud ujaran tersebut benar-benar difahami atau sebaliknya.





3 comments:

  1. Salam, terima kasih atas post ini. Saya mendapat banyak maklumat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wasalam, ilmu Makna itu selalunya melangkaui pemikiran aras rendah kerana kita harus menggunakan minda untuk mentafsir, menghurai dan mengandai

      Delete
  2. ya betul itu. mcm sy sdri sbg bakal guru bahasa dn mencari perbualan ayat yg menunjkkn perbualan yg melambangkn unsur pragmatik amat sukar sekali krn sememangnya adab zmn skrg lebih suka ckp terang2 tnp berkias maka mungkin atas faktor itu sdri sy kurng mengerti terhdp apakah yg diartikan dgn unsur pragmatik ini...langsung membaca bahan2 yg terdapat di laman tuan sgt memberikan banyak faedah kpd sy.terima kasih byk

    ReplyDelete