Monday 23 July 2012

Peribahasa

PERIBAHASA  MELAYU    -  zabedah  mohammed
   
 tegak rumah kerana sendi
       runtuh sendi rumah binasa
sendi bangsa ialah budi
       runtuh budi runtuhlah bangsa

Peribahasa  merupakan  salah  satu  aspek  keindahan   berbahasa  dalam  kalangan  masyarakat  Melayu.  Bait-bait  peribahasa sarat  dengan  makna  tersirat  yang  perlu  dirungkai  mengikut   fungsi  dan  situasi.  

Realitinya, terdapat pelbagai  peribahasa  yang  menjadi  permainan  kata  dalam  dunia  kehidupan  masyarakat  Melayu.  Nilai estetika peribahasa ini boleh dilihat daripada beberapa aspek. Ishak Ramly (1990), telah mengklasifikasikan peribahasa mengikut tema  seperti  berikut:
   
tema-tema peribahasa

**  cinta  dan  benci
**  kejayaan  dan  kegagalan
**  kebahagiaan  dan  kesengsaraan
**  segala  kurniaan  tuhan
**  berkaitan  norma  sosial  dan  moral  masyarakat

Berikut adalah contoh-contoh peribahasa yang diklasifikasikan mengikut lima        tema tersebut.

1)  Tema  cinta  dan  benci
     i)  buah  hati
         maksud  :  kekasih atau orang yang dicintai
     ii) seperti pungguk merindukan bulan
         maksud  :  dalam  percintaan
   iii) umpama bunga, sedap dipakai, layu dibuang
        maksud  :  dikasihi semasa muda, dibenci setelah tua

2)  Tema  kejayaan  dan  kegagalan
     i)  sehari  selembar  benang, lama-lama 
         menjadi  kain
        maksud  :  sabar mengerjakan  sesuatu lama-lama
         terhasil juga
     ii)  hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih
          maksud  :  kalau ada kemahuan, maka ada saja
          jalan untuk melakukan sesuatu pekerjaan
          sehingga berjaya
     iii)  malu  bertanya  sesat  jalan,  malu  berdayung
           perahu  hanyut
           maksud  :  kalau malas berusaha, kita tidak akan mendapat
           kejayaan

3)  Tema  kebahagiaan  dan  kesengsaraan
     i)  seperti  embun  di   hujung  rumput
         maksud  :  tidak  kekal  dan  segera  hilang
         kasih  sayang
   ii)  seperti kaca terhempas  ke  batu
        maksud  :  perasaan  yang  sangat  sedih  atau  kecewa
  iii) orang mengantuk disorongkan bantal
       maksud  :  memperoleh  sesuatu yang diinginkan 

4)  Tema  kurniaan  Tuhan
     i)  bagai  bulan  dipagari  bintang
         maksud  :  kecantikan  gadis  yang  tiada  bandingannya
   ii)  bintang  terang
        maksud  :  bernasib  baik
 iii)  jauhari  juga  yang  mengenal  manikan
       maksud  :  orang yang  bijaksana  juga  dapat  melakukan
       penilaian  yang  tepat

5)  Tema berkaitan norma sosial dan moral masyarakat

i)  orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getah 
    maksud  :  orang lain yang melakukan kesalahan, orang lain
    pula yang dituduh
ii)  mendengar guruh dilangit, air tempayan dicurahkan
     maksud  :  kerana mengharapkan keuntungan yang
     belum pasti, keuntungan yang kecil yang sudah 
     pasti dilepaskan
iii)  umpama minyak setitik, di laut sekali pun timbul juga
      maksud  :  orang yang baik walau di mana sekali
      pun akan dimuliakan juga


Mengikut  Arifin Nur (dalam Ishak Ramly:1990) peribahasa diklasifikasikan kepada lima iaitu:
1.  perumpamaan
2.  bidalan
3.  pepatah
4.  perbilangan
5.  simpulan bahasa

Berikut merupakan contoh-contoh peribahasa mengikut klasifikasi.

1.  Perumpamaan

a)  seperti kacang lupakan  kulit
      maksud  :  orang yang melupakan budi baik serta pertolongan orang lain apabila telah 
                         hidup senang
b)  seperti aur dengan tebing
      maksud : tolong-menolong antara satu sama lain

2.  Bidalan

a)  air susu dibalas dengan air tuba
     maksud : kebaikan dibalas dengan kejahatan
b)  sudah terhantuk baru terngadah
      maksud : sesudah ditimpa kemalangan, baru hendak beringat-ingat

3.  Pepatah
  
a)  di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
     maksud : hendaklah kita menurut adat dan aturan di tempat yang kita diami
b)  laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujan
     maksud : setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan

4.  Perbilangan

a)  hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah
     maksud : susah senang dirasai bersama
b)  hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
     maksud : semasa hidup hendaklah mematuhi aturan-aturan yang berlaku

5. Simpulan  bahasa

a)  bintang terang
     maksud : bernasib baik
b)  patah kandar
      maksud : hilang tempat bergantung


KAJIAN-KAJIAN TENTANG KLASIFIKASI PERIBAHASA

Indrawati Zahid (1998) dalam kajiannya telah membincangkan klasifikasi peribahasa yang telah dilakukan oleh empat tokoh bahasa iaitu Za'ba, Md Said Sulaimen, dan Abdullah Hassan & Ainon Mohd. Beliau telah membandingkan klasifikasi peribahasa tokoh-tokoh tersebut. Perbandingan tersebut bersandarkan sembilan klasifikasi iaitu:
1.  simpulan bahasa
2.  bidalan
3.  pepatah
4.  perbilangan
5.  perumpamaan
6.  lidah pendeta
7.  kiasan
8.  tamsil
9.  ibarat

Hal ini membuktikan bahawa peribahasa boleh dikaji dari pelbagai perspektif yang menarik.

      Menurut Nor Hashimah (1988) peribahasa Melayu yang dihasilkan bukan sahaja dapat dijadikan pengajaran dan teladan malah mengandungi ilmu saintifik yang menyangkut perkara tentang hukum graviti, hidrologi, botani, hukum alamiah, fisiologi, genetik, logik, dan ekonomi. Hal ini menunjukkan masyarakat Melayu mempunyai sifat yang cukup teliti. Mereka dapat mengamati apa-apa yang berlaku di persekitaran mereka lalu dibentuk peribahasa untuk melahirkan idea dan pandangan hidup mereka.

      Dapatan kajian Lim Kim Hui (1998) telah mengklasifikasikan peribahasa kepada empat bahagian iaitu:
1.  logika dalam peribahasa
2.  rasionalisasi dalam peribahasa
3.  falasi dalam peribahasa
4.  pemikiran stereotaip dan prejudis dalam peribahasa

      Salmah (1999) telah mengkaji penggunaan bahasa kiasan dalam pantun Melayu. Bahasa kiasan dalam kajian beliau merujuk kepada peribahasa Melayu berdasarkan klasifikasi peribahasa oleh Za'ba. Kajian beliau mendapati terdapat banyak pantun yang menggunakan peribahasa sebagai pembayang dan juga maksud. 

      Saidatul Nornis (1999) telah menganalisis peribahasa Melayu dari sudut estetika "HATI" dalam bahasa kiasan. Bahasa berkias dalam kajian beliau merujuk kepada peribahasa dan simpulan bahasa. Beliau mendapati terdapat suatu persepsi yang agak menyeluruh tentang anatomi manusia yang digambarkan dalam bahasa Melayu terutamanya anatomi hati. Dalam kajian beliau, beliau telah menganalisis peribahasa yang mengandungi perkataan "hati"

      Nor Hashimah (2006) telah menjalankan kajian berbentuk deskripsi ke atas peribahasa Melayu. Dalam kajian beliau, pendeskripsian secara umum tentang masa dan masyarakat Melayu melalui analisis makna dalam peribahasa telah dilakukan. Dalam peribahasa Melayu terdapat ungkapan peribahasa yang berupa nasihat mengenai kepentingan masa seperti sambil menyelam minum air, berjagung-jagung sementara menanti padi masak, hangat-hangat tahi ayam, dan lain-lain.

      





No comments:

Post a Comment