Monday 23 July 2012

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu SR



Pengajian Sukatan Pelajaran
Pendahuluan

Sukatan pelajaran ialah dokumen yang amat penting bagi seseorang guru profesional. Sebagai seseorang guru profesional harus memiliki, memahami, menguasai dan menghayati kandungan sukatan pelajaran. Seseorang guru juga perlu   memperlengkap diri dengan  kemahiran pengurusan pendidikan  dan  penguasaan ilmu pedagogi. Kurikulum dan sukatan pelajaran juga bersifat luwes ,perlu  digubal dan disemak sebelum dilaksanakan. Sehubungan  itu, dalam tempoh profesion, seseorang guru mungkin berhadapan dengan perubahan dan semakan kurikulum dan sukatan. Sebagai seorang guru profesional  perlu bersifat peka, menganalisis perubahan kandungan sukatan, seterusnya membuat pengubahsuaian berdasarkan perubahan yang dibuat oleh PPK. Berasaskan pemahaman  tentang organisasi, kandungan kurikulum serta sukatan ini, guru  menyediakan rancangan tahunan, rancangan harian pengajaran mereka termasuklah  kemahiran dan hasil pembelajaran, strategi pengajaran, pengurusan sumber dan bahan pengajaran.

 Definisi Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran ialah dokumen yang menyatakan kandungan yang perlu diajar bagi suatu mata pelajaran tertentu pada tahap tertentu. Sukatan pelajaran dibina berdasarkan kurikulum, dan mengandungi topik, obejktif, kemahiran dan penerangan .

Amalan kurikulum berbeza-beza dari sebuah negara dengan negara yang lain. Dalam amalan kurikulum di Malaysia, kurikulum dan sukatan pelajaran bersifat berpusat, diselaraskan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, yang merangkum pendidikan prasekolah, rendah dan menengah. Terdapat dua dokumen penting yang saling melengkapi yang dibangunkan, iaitu sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran.


 Sukatan Pelajaran

Sukatan pelajaran, sebagai dokumen induk, mewakili keperluan kurikulum bagi satu peringkat persekolahan. Oleh itu, ada dua sukatan pelajaran Bahasa Melayu yang dibina di PPK iaitu sukatan pelajaran sekolah rendah dan sukatan pelajaran sekolah menengah. Sukatan pelajaran sekolah rendah merangkumi Tahap Satu dan Tahap Dua, disediakan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, dan Kelas Peralihan. Sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah merangkumi pelajaran Bahasa Melayu menengah rendah (tingkatan satu hingga tingkatan tiga), dan menengah atas (tingkatan empat dan tingkatan lima).




Huraian sukatan pelajaran

Huraian sukatan pelajaran ialah dokumen kurikulum sokongan yang memperincikan kandungan sukatan pelajaran. Huraian sukatan pelajaran disediakan bagi setiap tahun pembelajaran, dan dibezakan antara HSP SK dan SJK bagi sekolah rendah.




Sumber: 
BMP 6123 Pengujian dan Penilaian  
oleh Prof. Emeritus Abdullah Hassan




No comments:

Post a Comment