Monday 23 July 2012

Puisi Moden


PUISI

Puisi merupakan karangan berangkap yang disusun mengikut perkataan-perkataan tertentu dengan menggunakan irama, bunyi, dan kiasan-kiasan yang berkesan. ia merupakan alat pengucapan fikiran dan perasaan yang terindah dan berkesan. Puisi mempunyai makna yang sama dengan perkataan poezie dalam bahasa Belanda. Dalam bahasa Yunani dan Latin puisi disebut sebagai poiets manakala dalam bahasa Inggeris pula ia disebut poetry.

Puisi mementingkan kehalusan dan keindahan. Bahasanya diukir daripada perkataan-perkataan yang indah, disusun mengikut peraturan-peraturan tertentu dengan bentuk irama dan bunyi yang menarik lagi memikat (The best words in the best order). Oleh sebab sifatnya yang sedemikian itu, maka puisi menjadi cara yang paling indah dan paling berkesan untuk menyatakan sesuatu. Lumrahnya, apa yang diungkapkan oleh puisi itu adalah lahir daripada fikiran-fikiran yang bernilai.

Puisi dapat dibahagikan kepada dua jenis yang utama, iaitu puisi lama dan puisi baru (moden). Menurut jenisnya puisi lama itu dibahagikan kepada lapan bentuk manakala puisi moden (sajak) pula dapat dibahagikan kepada tujuh bentuk.


Puisi Moden

Puisi baru atau moden ini timbul pada zaman Angkatan 45. Perasaan ingin bebas yang terlepas daripada segala ikatan kelihatan agak jelas dalam bentuk puisi moden. Tidak ada ukuran tertentu dalam menciptakan puisi bagi Angkatan 45, selain daripada yang dipentingkan hanyalah isi.
        
     Perkara yang menjadi pegangan utama adalah ekspresi jiwa. Bahasa, bentuk irama dan persajakan harus tunduk pada cetusan jiwa penciptanya. Puisi moden mempunyai satu falsafah tersendiri, iaitu ia tidak mahu dikongkong oleh apa-apa peraturan pun.

     Di tanahair kita, puisi baru ini lebih dikenali sebagai 'sajak'. Ia dikatakan baru kerana ia memiliki sifat-sifat yang tidak begitu terikat kepada bentuk-bentuk puisi lama yang dianggap lebih ketat dan mengongkong. Pernyataan fikiran penyair disebarkan secara bebas dan dinamis. Perasaan-perasaan dan curahan hati mereka dapat dilahirkan dengan yakin dan puas. Segala yang diucapkan terasa lunak, licin, segar, indah, bebas dan berkesan.

     Pada dasarnya, sajak masih berupa karangan berangkap walaupun cara penulisannya baru. Daripada cara penulisan yang baru itulah timbul beberapa sifat sajak yang tertentu :

  1. Balada : Balada ialah puisi (sajak) yang mengandungi cerita, kisah atau hikayat. Puisi ini berkait dengan perasaan sedih atau satu-satu kisah yang pernah dialami oleh pengarangnya. Ia merupakan satu cerita yang telah diolah atau dikarang menjadi sebuah sajak sehingga perasaan yang dialami atau dikisahkan itu dapat dirasakan sepenuhnya. Sajak 'Hang Tuah' ciptaan Amir Hamzah telah mengisahkan keperwiraan Hang Tuah dalam bentuk puisi.
  2. Rommance : Rommance ialah sajak cinta kasih. Curahan kasih sayang yang dilukiskan dalam bentuk sajak. Ia bukan sahaja bermaksud untuk menyatakan rasa cinta terhadap seorang gadis atau kekasih tetapi juga kasih terhadap tuhan, agama, tanahair, bangsa, dan cinta kepada keadilan dan kebenaran.
  3. Oda : Oda ialah sajak yang berisi pujian atau sanjumgan terhadap seseorang terutama terhadap mereka yang telah berjasa dalam masyarakat. Ia juga merupakan sanjungan-sanjungan terhadap tokoh-tokoh yang dikagumi, sanjungan terhadap tanahair dan keindahan alam sekitar.
  4. Epigram : Epigram ialah sajak yang diciptakan khusus untuk memberi nasihat dan pengajaran. Ia mengandungi semangat perjuangan, perbandingan dan dorongan untuk maju dalam kehidupan.
  5. Himne : Himne ialah sajak yang mengandungi pujian dan pujian yang ditujukan khusus untuk Tuhan. Sajak ini memperlihatkan curahan-curahan perasaan yang penuh dengan keharuan terhadap kebesaran dan keagungan Tuhan. Ia juga tidak melupakan segala nikmat-Nya.
  6. Elegi : Elegi ialah sajak yang menggambarkan keluhan jiwa dan rintihan sukma pengarang kerana duka yang melara jiwa. Ia berisi curahan perasaan yang sedih dan pilu. Ratapan jiwa yang menyayat hati kerana ditinggalkan kekasih, anak isteri misalnya adalah merupakan isi penting dalam sajak-sajak sedemikian.
  7. Satira (Satire) : Satira ialah jenis sajak sindiram atau kecaman. Ini lahir kerana pengarang biasanya tidak berkenan atau tidak bersetuju hati melihat sesuatu yang tidak benar, tidak wajar berlaku dalam masyarakat. (Kamarudin Hj. Husin, 1988) 





No comments:

Post a Comment