Friday 3 August 2012

Peribahasa Melayu

Peribahasa berupa kata-kata atau frasa yang mempunyai makna yang utuh.  Secara universalnya, peribahasa juga dirujuk sebagai Proverbs.  Dalam bahasa Melayu, peribahasa mempunyai pelbagai jenis, contohnya perumpamaan, kata-kata hikmat, simpulan bahasa, bidalan dan sebagainya.  Di semenanjung, pengaruh peribahasa agak kurang ketara.  Hal ini demikian mungkin dipengaruhi keadaan sosiobudaya dan keperluan unsur itu dalam ujaran mereka.

Pengaruh yang dominan adalah peranan masyarakat Minangkabau, khususnya di Negeri Sembilan.  Masyarakat Minangkabau menggunakan unsur peribahasa dalam ujaran mereka.  Hal ini demikian mungkin masyarakat Minang memang mementingkan peranan golongan tua yang berpengalaman dalam urusan kemasyarakatan mereka.  Golongan ini yang biasanya banyak pengalaman dan pengetahuan berupaya mengungkapkan kata-kata yang mempunyai makna tersirat sebagai unsur pendidikan.

Masyarakat Melayu juga terkenal dengan sikap pemalu dan agak sukar berterusterang.  Tabiat ini menyebabkan mereka lebih suka meluahkan apa yang ingin disampaikan dalam bentuk peribahasa.  perumpamaan, simpulan bahasa dan sebagainya. Pada prinsipnya saya berpendapat bahawa orang Melayu sebagai satu bangsa yang amat mementingkan peranan minda.  Mereka berupaya menggarap hasil pemikirannya dalam ungkapan yang implisit. Keunikan ini seharusnya dimanfaatkan dalam menjana kecemerlangan minda generasi sekarang.  Cumanya satu mekanisme yang terancang perlu dilakukan agar kebijaksanaan pemikiran ini dapat diperkembang dan seterusnya dapat dijadikan pemangkin pembinaan bangsa.

No comments:

Post a Comment