Tuesday 7 August 2012

Peranan Semantik Dalam Ujaran

Peranan Semantik Dalam Ujaran
Oleh
Dr Hussin Bin Sarif

Pada awalnya, pelopor Teori TG ( Tranformasi Generatif ) iaitu Noam Chomsky amat berpegang kepada konsep rumus.   Dalam bukunya  Syntactic  Structures, beliau mengusulkan bahawa bahawa  bahasa manusia itu berstruktur  dan boleh diterang berdasarkan rumus.  Contohnya dalam ayat, Budak itu membaca buku.
a)  A                      FN         FK
b)  FK                    K  +   FN
c)  FN                    N       +    Penunjuk
d)  K                      baca
e)  Penunjuk       itu
f)   N                     budak, buku

Beliau sering mengatakan ujaran manusia itu bersifat kreatif.  Manusia secara semulajadinya mampu mengungkapkan ujaran-ujaran  yang  tidak pernah dipelajari ataupun didengari  sebelumnya.  Dalam buku berikutnya  Aspects of the Theory of Syntax, beliau mengusulkan bahawa nahu terbahagi kepada tiga komponen, iaitu
a) A               FN         FK
b) FK             K            ( kopula + predikat )
c) FN             N    +    Pen
d) N              [ + bernyawa ]        [ + bernyawa  ]


i)   komponen sintaksis,
ii)  komponen semantik, dan
iii) komponen fonologi.

Komponen semantiklah yang menyebabkan, peranan makna itu begitu penting agar ujaran-ujaran yang berdasarkan rumus tadi ditolak jika tidak menggambarkan makna yang betul.

1. * Kayu memukul Ali.
2.*Saya minum nasi itu.
3.*Buku itu memanjat pokok.
4.*Meja itu mengejar kucing

Sebagaimana bahasa-bahasa Austronesia  yang lain, bahasa Melayu juga menggunakan afiksi untuk menjana makna pada  Kata Kerja  ( verba ).  Dan kita sebagai penutur jati bahasa Melayu ini mungkin tidak menyedari bahawa penggunaan afiksi banyak dipengaruhi oleh unsur makna.  Unsur  afektif ( mengena ) mahupun benefektik ( bermanfaat ) yang akan menyebabkan   imbuhan awalan  meN dan juga imbuhan akhiran - kan dan – i, itu selalu disalah ertikan.
Dalam bahasa Melayu kita sering mendengar ungkapan berikut
5.  *Tempat menunggu   
6.  * Ruang membaca
Yang sepatutnya kita guna
7.  Tempat Tunggu
8.  Ruang Baca
Hal ini demikian kerana fungsi imbuhan awalan –meN membawa maksud Kata Kerja  tunggu dan baca itu sebagai Kata Kerja Transitif yang membawa maksud mengena.  Dalam konteks kata kerja di atas kalau kita hendak juga menggunakan KK menunggu dan membaca, maka KK itu seharusnya diikuti dengan kata objek yang membawa maksud kena. Umpamanya menunggu pesakit dan juga membaca buku. 
Begitu juga saya sering ditanya tentang penggunaan kata-kata : merancang dan melaksanakan, merancang dan melaksana  atau merancangkan dan melaksanakan.
9.* Kita telah merancang dan melaksanakan
10. *Kita telah merancangkan dan melaksanakan
Sepatutnya kita guna
11.  Kita merancang dan melaksana.
Mengapa demikian, kerana kata kerja tadi telah bertukar fungsinya sebagai kata nama ( KN Terbitan ).  Kedua-dua kata itu tadi merujuk kepada  nama perlakuan.  Oleh itu imbuhan akhiran sudah tidak perlu lagi. Samalah juga dengan imbuhan – kan dan juga akhiran – i.  Contoh dalam perkataan menidurkan dan meniduri.  Imbuhan akhiran – kan membawa maksud perlakuan yang membawa maksud memberi manfaat ( benekektif ), sementara imbuhan akhiran – i, membawa maksud mengenai ( afektif )
12.    Dia menidurkan anaknya  ( biasa saja )
13.  *Dia meniduri anaknya ( berbahaya itu )
Ayat di atas dari segi rumus tatabahasanya betul tapi daripada sosiolinguistiknya mungkin tidak betul.  Jelaslah bahawa rumus ataupun peraturan tatabahasa itu bukan satu-satunya syarat untuk memastikan kegramatisan sesuatu  ujaran ataupu ayat.  Umsur-unsur lain seperti makna juga amat penting untuk diambil kira untuk menentukan kegramatisan.
Rujukan
Nik Safiah Karim,( peny), 1988, Linguistik Tranformasi Generatif, Suatu Penerapan pada Bahasa  
          Melayu, Kuala Lumpur : DBP

Nik Safiah Karim,( et.al ), 1988, Tatabahasa Dewan,  Kuala Lumpur : DBP

No comments:

Post a Comment