Ruangan ini menawarkan input-input dalam bentuk isu kebahasaan semasa. Misalnya
berkaitan kesilapan-kesilapan yang sering kita lakukan dalam berbahasa, perbendaharaan kata
bahasa Melayu, dan sebagainya.
SANTUN BERBAHASA
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa,
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa,
Sesungguhnya pewujudan sesuatu bahasa tercermin melalui tingkah laku penuturnya, iaitu budi bahasa. Oleh itu, dalam masyarakat Melayu sering kali kita mendengar ungkapan “dia berbahasa sekali dengan kita” bagi merujuk seseorang yang sangat bersopan santun dalam tutur bicara dan tingkah laku mereka. Manakala ungkapan “dia tak tahu bahasa” pula ialah penilaian negatif merujuk kepada orang yang tidak bersopan santun dalam berkomunikasi dengan orang lain. Ironinya, kesantunan berbahasa bukan diukur semata-mata melalui bahasa dan tingkah laku yang sopan sebaliknya asas pengukuran kesantunan berbahasa ialah kepatuhan pengguna bahasa pada peraturan bahasa dalam masyarakatnya. Menurut Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar dalam bukunya Setia dan Santun Bahasa (2002), terdapat tiga peraturan penggunaan bahasa iaitu peraturan linguistik, peraturan sosiolinguistik dan peraturan pragmatik. Dalam keluaran kali ini, kita akan membicarakan kesantunan berbahasa dalam aspek peraturan linguistik. Unsur-unsur yang mendasari peraturan linguistik ialah sebutan, intonasi dan tatabahasa. Oleh itu, adalah sangat merisaukan apabila timbul kepelbagaian sebutan yang menyalahi peraturan tatabahasa lantaran sikap acuh tak acuh pengguna bahasa. Misalnya, penggunaan “e pepet” dan “e taling” digunakan sesuka hati tanpa mengira kesan terhadap makna kata tersebut.
e pepet e taling
bela (pelihara) bela (mempertahankan)
kepak (sayap) kepak (membengkokkan)
dekan (sejenis ulat) dekan (ketua fakulti)
selak (kancing pintu) selak (singkap)
sepak (tampar) sepak (tendang)
sepah (hampas) sepah (berserak)
gelang (lingkaran) gelang(sejenis tumbuhan)
Alangkah haru-birunya makna ayat di bawah jika perkataan “dekan” disebut dengan menggunakan e pepet.
“ Dekan Fakulti Pendidikan USM telah berpindah ke UPM”
No comments:
Post a Comment